Press Release

Gibraltar BSN, Pos Malaysia tawar khidmat kewangan - Utusan Malaysia

- 05 Feb 2016, Kuala Lumpur -

Gibraltar BSN Life Bhd. (Gibraltar BSN) dan Pos Malaysia Bhd. mengukuhkan lagi perkongsian perniagaan dengan menandatangani perjanjian pengedaran baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Gibraltar BSN, Vincent Kwo berkata, ia akan membolehkan Pegawai Perkhidmatan Kewangan (FSO) khas ditempatkan di cawangan Pos Malaysia yang terpilih di seluruh Malaysia termasuk di Shah Alam, Kuantan, Johor Bahru dan lokasi-lokasi lain.

Katanya, FSO yang diiktiraf dan dilatih secara bersama oleh Gibraltar BSN dan Pos Malaysia menerusi program latihan khusus bersedia untuk memberi nasihat profesional mengenai produk insurans berkaitan yang boleh didapati di Pos Malaysia.

"Dengan produk yang boleh didapati serendah RM3.33 sehari, kami berhasrat untuk memberikan perlindungan kewangan mampu milik dan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia yang disesuaikan dengan keperluan khusus mereka.

"Ini sememangnya menepati janji jenama Gibraltar BSN iaitu 'Kami melindungi Impian' bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai perlindungan kewangan demi ketenangan fikiran mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.