Press Release

Kerjasama Gibraltar BSN dan POS Malaysia tawar Khidmat Perancangan Kewangan - Utusan Borneo

- 12 Feb 2016, Kuala Lumpur -

Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN) dan POS Malaysia Berhad (POS Malaysia) mengukuhkan lagi perkongsian perniagaan mereka dalam satu upacara menandatangani perjanjian pengedaran baru bagi produk insurans yang dijual di cawangan-cawangan POS Malaysia di seluruh negara.

Perjanjian baru ini akan membolehkan Pegawai Perkhidmatan Kewangan (FSO) khas ditempatkan di cawangan POS Malaysia yang terpilih di seluruh Malaysia, termasuk di Shah Alam, Kuantan, Johor Bahru serta lokasi-lokasi yang lain.

Diiktiraf dan dilatih secara bersama oleh Gibraltar BSN dan POS Malaysia menerusi program latihan khusus, FSO ini bersedia untuk memberi nasihat profesional mengenai produk insurans berkaitan yang boleh didapati di POS Malaysia.

Menerusi kerjasama dengan POS Malaysia ini juga, Gibraltar BSN berhasrat untuk meningkatkan fahaman yang lebih luas berkenaan manfaat insurans hayat dan mendidik pelanggan tentang pelbagai kelebihan perlindungan insurans.

Pelanggan boleh mendapat nasihat pakar, membeli perlindungan insurans serta-merta dengan cara yang mudah, dan mendapatkan pelbagai produk mampu milik yang sesuai dengan keperluan peribadi mereka.

Pada masa yang sama, Gibraltar BSN dan POS Malaysia kini sedang menawarkan pelan insurans hayat Pos Hayat dan Pos Bestari di cawangan-cawangan POS Malaysia.

Pos Hayat ialah perlindungan insurans hayat asas yang disertakan dengan manfaat perlindungan Denggi, manakala Pos Bestari ialah pelan perlindungan hayat komprehensif disertakan simpanan, lengkap dengan bayaran tunai terjamin dan manfaat kematangan untuk perlindungan sehingga berumur 88 tahun.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian khidmat pelanggan Gibraltar BSN di 03-26872020 atau kunjungi laman web mereka di www.gibraltarbsn.com. Anda juga boleh melayari laman web POS Malaysia di www.pos.com.my untuk mendapatkan butiran lanjut.