Press Release

POS Malaysia, Gibraltar BSN jalin pakatan strategik - Berita Harian (Online)

- 05 Feb 2016 -

KUALA LUMPUR: POS Malaysia Bhd (POS Malaysia) akan memperkenalkan pegawai khusus dalam perkhidmatan kewangan (FSO) di semua rangkaian terpilihnya seluruh negara untuk menyediakan khidmat nasihat profesional berkaitan produk insurans.

Ia susulan kerjasama yang dimeterai antara Gibraltar BSN Life Bhd (Gibraltar BSN) dan POS Malaysia Bhd (POS Malaysia) bagi melatih serta mengakreditasi pegawai FSO menerusi satu program latihan secara bersama.

Menerusi pakatan strategik dengan POS Malaysia, Gibraltar BSN menyasarkan untuk meningkatkan pemahaman terhadap manfaat insurans dan mendidik masyarakat berhubung kelebihan perlindungan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gibraltar BSN, Vincent Kwo, berkata inisiatif itu menyediakan akses kepada pelanggan untuk mendapatkan nasihat pakar, tempat melakukan pembelian, memudahkan proses langganan dan penawaran produk mampu milik yang memenuhi keperluan masing-masing.

Katanya, syarikat berharap dapat menyediakan perlindungan kewangan berkualiti yang menepati kehendak umum dan produk insurans mampu milik untuk semua rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi dengan produknya yang serendah RM3.33 sehari.

"Sudah beberapa tahun kami bekerjasama dengan POS Malaysia dan usaha meluaskan kerjasama kami menerusi inisiatif FSO adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.

"Kami berusaha keras membawakan pendekatan baharu dalam insurans nyawa kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan POS Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata kehadiran FSO akan membawa keunikan kepada rangkaian perkhidmatan mereka dan merancang meluaskan lagi pasukan FSO ke lebih banyak cawangan POS Malaysia dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya, dengan memanfaatkan penggunaan iPad dan ruang kerja khusus untuk melayan pelanggan, FSO akan dapat menyediakan pengalaman dan perkhidmatan yang memuaskan untuk masyarakat setempat.

"Pelanggan akan mudah mengecam pegawai FSO kami yang akan memakai seragam baharu. Dengan inisiatif ini, kami mengharapkan keputusan positif pada masa hadapan," katanya.