Press Release

Pasukan OCOF kunjungi anak yatim - Harian Metro

- 29 Dec 2015, Kuala Lumpur -

Keceriaan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Al-Nasuha Batu Caves, Selangor ketika menyambut kedatangan kakitangan dan ejen Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN) yang mengunjungi mereka sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

Ini adalah lawatan kali ketiga tahun ini di bawah program Kanak-Kanak Kita, Masa Depan Kita (OCOF) Gibraltar BSN, selepas lawatan ke rumah anak yatim di Pulau Pinang dan Melaka tahun lalu.

Ketibaan kakitangan Gibraltar BSN dan Grow Rich Advisory Agency, sebuah agensi Gibraltar BSN, disambut dengan riang. Suasana ceria jelas kelihatan di rumah anak yatim itu sebaik pasukan OCOF memulakan aktiviti gotong-royong membersih, mengecat dan menghias rumah mereka.

Sambil berbual dan bergurau senda, sukarelawan OCOF berjaya menyelesaikan transformasi Rumah Anak Yatim Al-Nasuha sebelum sajian makan tengah hari dihidangkan untuk semua.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gibraltar BSN Vincent Kwo, BSN berpegang teguh pada janji jenama Gibraltar BSN iaitu Kami Melindungi Impian yang menjadi teras kepada aktiviti dilakukan.

"Misi kami adalah untuk memberi perlindungan kepada segenap lapisan masyarakat, daripada menyediakan produk insurans berkualiti untuk pelanggan dan menabur budi kepada masyarakat di tempat kami beroperasi."

"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, BSN turut berperanan memastikan masa depan generasi akan datang terjamin. Inilah sebab kami memulakan program Kanak-Kanak Kita, Masa Depan Kita."

"Ia memberi peluang kepada kami melakukan kerja yang begitu bermakna. Kami berharap usaha menerusi program ini akan memberi kesan positif ke atas kanak-kanak dan masa depan mereka," katanya.

Pengurus Agensi Grow Rich Advisory Mohd Redzan Che'Amat, turut menyokong sentimen ini.

"Program OCOF adalah inisiatif untuk menghulurkan bantuan kepada golongan masyarakat kurang bernasib baik dengan harapan membantu membawa perubahan demi kebaikan. Kami menyokong inisiatif ini dan bersedia bekerjasama dengan Gibraltar BSN untuk menjayakan lawatan yang akan datang," katanya.

Di bawah program OCOF, kakitangan dan agensi Gibraltar BSN memberikan bantuan melalui kerja sukarelawan di beberapa rumah kebajikan kanak-kanak terpilih dengan harapan untuk membawa perubahan ke dalam hidup kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.gibraltarbsn.com.