Press Release

Uni.Asia kini dikenali Gibraltar BSN Life - Kosmo

- 30 Apr 2014 -

KUALA LUMPUR - Uni.Asia Life Assurance Berhad (Uni.Asia) kini dikenali sebagai Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN Life) selepas penjenamaan semula yang dilaksanakan semalam.

Melalui penjenamaan tersebut, ia bakal memberi manfaat kepada lapan juta pelanggan sedia ada Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vincent Kwo Shih Kang berkata, jenama baharu ini dihasilkan melalui usaha sama dua entiti yang mana BSN akan menguasai 30 peratus manakala bakinya oleh Prudential Insurance Company of America (PICA) iaitu anak syarikat Prudential Financial Inc. (PFI).

"Dua kepentingan terbesar ini mampu membina asa kukuh untuk menyebarkan produck dan perkhidmatan insurans kami secara meluas ekoran permintaan yang menggalakkan daripada rakyat di negara ini.

"Kerjasama strategik dengan BSN akan lebih holistik kerana tawaran akses lebih baik melalui tiga saluran pengedaran utama yang merangkumi agensi, cawangan BSN dan turut disediakan perkhidmatan di pejabat Pos-Assurance seluruh negara.

"Ia bertujuan untuk menembusi segmen pasaran pelanggan di luar bandar dan pada masa sama ia dapat menyampaikan maklumat tentang insurans yang mampu menarik minat untuk melanggan insurans kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran penjenamaan semula Uni.Asia Life Assurance kepada Gibraltar BSN LIfe di sini semalam.

Gibraltar BSN LIfe tampil dengan slogan baharu, a refreshing approach to life insurance yang bertujuan melahirkan perintis pakar insurans bagi memudahkan proses membeli insurans hayat.