Newsroom

What’s good and what’s new at Gibraltar BSN? Read all about it here.

Agenda Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik - Berita Harian

29 Dec 2015

Membantu golongan kurang bernasib baik antara agenda yang kerap dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memberi kehidupan yang lebih baik dan bermakna.

Antara syarikat yang melakukan tanggungjawab sosial ialah syarikat insurans hayat, Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN) yang mengadakan program sukarela untuk membantu menceriakan kanak-kanak di Rumah Anak Yatim Al-Nasuha, di Batu Caves, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lawatan itu adalah yang ketiga bagi tahun ini di bawah Program Our Children, Our Future (OCOF) Gibraltar BSN, selepas lawatan ke rumah anak yatim di Pulau Pinang dan Melaka.

Ketibaan kakitangan Gibraltar BSN dan Grow Rich Advisory Agency, sebuah agensi Gibraltar BSN yang sah, disambut dengan riang gembira oleh kanak-kanak berkenaan.

Suasana ceria jelas kelihatan di rumah anak yatim itu sebaik saja pasukan OCOF memulakan kerja gotong-royong membersih, mengecat dan menghias rumah kanak-kanak berkenaan.

Beri perlindungan insurans
Ketua Pegawai Eksekutif, Gibraltar BSN, Vincent Kwo, berkata pihaknya berpegang teguh pada janji jenama Gibraltar BSN, iaitu "Kami Melindungi Impian" yang menjadi teras segala aktiviti dilakukan.

"Misi kami adalah untuk memberi perlindungan kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang dengan menyediakan produk insurans berkualiti untuk pelanggan hinggalah menabur budi buat mereka di tempat kami beroperasi."

"Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kami percaya peranan kami turut memastikan masa depan generasi akan datang terjamin."

"Inilah sebab kami memulakan program Our Children, Our Future. Ia memberi peluang kepada kami untuk melakukan kerja yang benar-benar bermakna. Kami berharap usaha kami menerusi program ini akan memberi kesan positif ke atas kanak-kanak dan masa depan," katanya.

Sumbangan bermakna
Sementara itu, Pengurus Agensi Grow Rich Advisory, Mohd Redzan Che Amat, berkata pihaknya turut berbesar hati menyokong inisiatif murni ini.

"Program OCOF bertujuan menghulurkan bantuan kepada orang yang kurang bernasib baik dengan harapan membantu memberi perubahan demi kebaikan, pada masa depan."

"Kami menyokong inisiatif ini dan sentiasa bersedia bekerjasama dengan Gibraltar BSN dalam menjayakan usaha membantu golongan terbabit," katanya.

Gibraltar BSN adalah milik bersama Prudential Financial Inc (PFI) dari Amerika Syarikat menerusi anak syarikatnya, Prudential Insurance Company of America (PICA) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) Malaysia.

Program OCOF diilhamkan untuk falsafah PFI yang menggalakkan kakitangannya memberi sumbangan lebih bermakna kepada masyarakat setempat.

Di bawah program OCOF, kakitangan dan agensi Gibraltar BSN memberikan bantuan melalui kerja sukarela di beberapa rumah kebajikan kanak-kanak terpilih dengan harapan untuk membawa perubahan ke dalam hidup kanak-kanak yang kurang bernasib baik.