Gibraltar BSN Ceriakan Kanak-Kanak Sweet Care - Sinar Harian
15 Nov 2015Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN), syarikat insurans hayat ini telah menyambut ulang tahun kedua Hari Sukarelawan Antarabangsa (IVD) dengan aktiviti gotong-royong di Persatuan Kebajikan Sweet Care (PKSC).
PKSC adalah sebuah rumah kebajikan yang menempatkan seramai 40 anak yatim, kanak-kanak kurang bernasib baik dan juga warga emas yang telah diabaikan oleh keluarga mereka.
Gotong-royong bermula dengan pembaikan dan pembersihan kawasan persekitaran rumah kebajikan tersebut oleh sukarelawan Gibraltar BSN. Suasana menjadi lebih menyeronokkan apabila kanak-kanak penghuni rumah tersebut turut menyertai dan membantu sukarelawan dengan melakukan kerja-kerja ringan.
Selain mengecat dinding dan membersihkan persekitaran, Gibraltar BSN juga telah membina sebuah perpustakaan serta memasang pagar di sekeliling rumah tersebut. Sukarelawan juga telah membantu melengkapkan bilik perpustakaan rumah itu dengan rak-rak buku dan meja.
Sebagai tanda kenangan dan sumbangan ikhlas Gibraltar BSN, sebuah plak peringatan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gibraltar BSN, Vincent Kwo, kepada PKSC.
"Hari ini merupakan ulang tahun yang kedua inisiatif IVD, dan semestinya kami tidak sabar untuk menyambutnya pada tahun-tahun yang akan datang. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, ini adalah matlamat yang kami sentiasa perjuangkan - untuk memupuk semangat memberi dan berkongsi dengan masyarakat," kata Kwo.
Pengasas PKSC, Thanam Krishnan, berterima kasih kepada semua sukarelawan yang telah membina sebuah perpustakaan, memasang pagar dan memperbaiki rumah serta membuat suasana kini lebih ceria dan selesa untuk semua penghuni.
"Semangat sukarelawan adalah satu inspirasi kepada kami dan kami teruja melihat rakyat negara ini menghulurkan tangan untuk memberi bantuan," katanya.