Gibraltar BSN Life Sasar Tembusi Pasaran Insurans - Utusan Malaysia
30 Apr 2014KUALA LUMPUR 4 April - Uni.Asia Life Assurance Berhad yang kini dikenali sebagai Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN Life) menerusi penjenamaan semula menyasarkan untuk menembusi pasaran insurans negara ini dengan memanfaatkan lapan juta pelanggan sedia ada Bank Simpanan Nasional (BSN).
Ketua Pengarah Eksekutifnya, Vincent Kwo Shih Kang berkata, melalui kerjasama itu, Prudential Financial Inc. (PFI) memegang 70 peratus kepentingan dalam Gibraltar BSN Life menerusi anak syarikatnya, Prudential Insurance Company of America (PICA), manakala 30 peratus lagi dikuasai oleh BSN.
Katanya, Gibraltar BSN Life yang menggunakan slogan 'Nafas Baharu Insurans Hayat' dilihat mampu melakar kejayaan berlandaskan keupayaan global PFI dan kepakaran tempatan serta rangkaian pengedaran BSN yang luas.
"Tujuan utama kami adalah memberi pendedahan mengenai insurans kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk menyedarkan masyarakat luar bandar tentang pentingnya memiliki insurans hayat.
"Pendekatan ini juga selaras dengan objektif Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara iaitu meningkatkan peratusan rakyat Malaysia yang memiliki insurans daripada 54 peratus kepada 75 peratus menjelang tahun 2020 nanti," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Gibraltar BSN Life di sini hari ini.