Rekrut Lebih Penderma Darah - Harian Metro
25 Jan 2016
Prihatin dengan nasib golongan pesakit yang memerlukan pemindahan darah, Gibraltar BSN Life Berhad (Gibraltar BSN) baru-baru ini menganjurkan kempen derma darah dalam usahanya meningkatkan kesedaran itu dalam kalangan orang awam.
Melalui kerjasama dengan Persatuan Insurans Hidup Malaysia (Liam), kempen berkenaan menyaksikan ahli persatuan terbabit meningkatkan usaha derma darah di seluruh negara.
Kempen itu yang diadakan di Advance Tertiary College (ATC), Pulau Pinang, mempunyai dua misi iaitu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah dan merekrut lebih ramai penderma darah pada masa depan.
Bagi merealisasikan usaha berkenaan, Gibraltar BSN bekerjasama dengan ATC dan Kolej Teknologi Antarabangsa Cosmopoint untuk menganjurkan acara derma darah selama dua hari.
Dalam kempen itu, rata-rata pelajar, pensyarah serta kakitangan kedua-dua kolej, pekerja Gibraltar BSN dan orang awam mengambil bahagian menderma darah selain mendengar taklimat mengenai manfaatnya kepada pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif Gibraltar BSN, Vincent Kwo berkata, pihaknya sedar mengenai impak yang mampu diberikan oleh penderma biarpun seorang individu kerana ia boleh menyelamatkan nyawa pesakit yang kehilangan banyak darah.
Katanya, pihaknya terharu melihat kesedaran untuk menderma darah yang ditunjukkan ramai sebaik kempen diadakan.
"Harapan kami adalah mereka yang mengambil keputusan menderma darah pada hari ini akan terus melakukannya di masa akan datang, selain mengajak rakan dan saudara mereka untuk turut serta."
"Kami juga berharap dengan penganjuran kempen seumpama ini, kesedaran masyarakat untuk terus menderma darah tidak akan berhenti dan cara memastikan ia terus subur adalah dengan mengajak mereka terbabit secara aktif," katanya.
Turut hadir, Pengurus Rantau Selatan Gibraltar BSN, Andrew Ting dan wakil agensi Aspirasi Resources, Mohamed Firdaus Mohd Raffe.